Cuaca yang panas, matahari memancar terang sejak pagi, setelah selesai
bermain anak bongsu Khalifah Umar Abdul Aziz merasa lapar dan meminta
makanan dari ibunya. Namun ketika itu isteri khalifah Umar, Fatimah
belum memasak apa-apa.
“Pergilah berjumpa dengan ayahmu di Baitulmal, mungkin dia dapat memberikan kamu sesuatu yang dapat dimakan,” kata Fatimah.
Si anak terus berlari riang menemui ayahnya. Ketika itu dia melihat
ayahnya Khalifah Umar bersama beberapa orang pegawai sedang menimbang
sejumlah buah epal untuk diberikan kepada yang layak.
Tiba tiba si anak masuk dan terus menuju ke arah longgokan epal dan
terus mengambil sebiji epal untuk dimakannya. Khalifah Umar melihat
tindakan anak kesayangannya dan segera merebut epal itu dari mulut
anaknya sehingga anaknya menangis lalu berlari pulang ke rumah.
“Wahai Amirul Mukminin, anakmu sedang lapar, kita masih mempunyai
simpanan buah epal yang banyak untuk diberikan kepada orang ramai,
sekiranya hilang sebiji, tentu tidaklah ia menyebabkan kerugian,” kata
Sahal, adik Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang turut berada di situ dan
menyaksikan kejadian tersebut.
Sahal, tidak sampai hati melihat anak saudaranya yang sedang lapar itu
menangis ketika sebiji epal yang hendak dimasukkan ke dalam mulut yang
direbut oleh ayahnya.
Khalifah Umar hanya berdiam diri mendengar kata-kata adiknya ini.
Hatinya sendiri ketika itu gelisah. Dia terpaksa memilih antara
keredhaan Allah dengan keinginan anak kesayangannya. Dia memilih
mengutamakan keredhaan Allah.
Setelah selesai kerjanya di Baitulmal, Khalifah Umar Abdul Aziz segera
pulang ke rumah. Dia menemui anaknya, dia memeluk dan mencium buah
hatinya serta dia juga mencium bau buah epal dari mulut anak bongsunya
itu. Khalifah Umar segera memanggil isterinya, Fatimah.
“Wahai Fatimah, dari mana kamu dapatkan buah epal untuk anak kita?” tanya Khalifah Umar.
“Anak itu sedang kelaparan tadi, dan dia teringin sekali memakan buah
epal, lalu saya belikannya sebiji di pasar, epal itulah yang dimakannya
untuk menahan rasa lapar,” jawab Fatimah.
Dengan wajah lapang dan sambil menangis Khalifah Umar pun bercerita
kejadian tadi berkenaan anaknya sambil berkata,”Wahai isteriku Fatimah,
ketika aku merebut buah epal itu dari mulut anak kita, benar-benar aku
merasakan seperti merengut jantung aku sendiri. Apakan daya kerana aku
sangat takut api neraka yang akan membakar anak kita, jadi aku rebut
buah epal itu dari mulutnya”.
Begitulah seorang hamba Allah, seorang khalifah , mukmin muttaqin, yang
menunjukkan sikap amat berhati-hatinya, yang mengharapkan seluruh
keluarga bahkan rakyatnya untuk mencapai syurga Allah. Beliau sangat
bimbang sekiranya benda haram menjadi darah daging anak dan keluarganya.
Wallahua’lam…
No comments:
Post a Comment