Setiap agama pasti mengangkat Tuhan mereka pada sifat yang paling 
tinggi, paling kuat, paling kaya, paling berkuasa, paling baik dan 
paling adil. Sifat-sifat ini bagi menunjukkan bahawa Tuhan itu sangat 
sempurna manakala manusia sangat lemah. Ini juga bermakna manusia akan 
mengharapkan kekayaan, kekuasaan, kebaikan dan keadilan daripada tuhan 
bukannya manusia.
Berkenaan dengan sifat adil. Apakah yang 
dimaksudkan dengan Tuhan bersifat adil? Adil dalam menghukum? Adil dalam
 mengurniakan sesuatu?
Tuhan Kristian yang Adil
Penganut 
kristian percaya bahawa Tuhan terdiri daripada tiga unsur. Tuhan Bapa 
yang mencipta dan mentadbir alam ini. Tuhan Anak yang bernama Jesus 
merupakan Tuhan yang muncul dalam bentuk manusia dan yang terakhir 
adalah Tuhan Roh Suci yang menjadi penghubung antara Tuhan Bapa di 
Syurga dan Tuhan Anak di Dunia. Hakikatnya ketiga-tiga Tuhan itu adalah 
satu namun muncul dalam watak yang berbeza. Inilah konsep Trinity yang 
sangat sukar dijelaskan hatta oleh 'ulama' kristian sendiri.
Penganut
 Kristian meyakini bahawa Tuhan bersifat dengan kasih sayang dan 
keadilan. Buktinya Tuhan Bapa menciptakan alam ini kerana sifat kasih 
sayang beliau. Setelah Adam, manusia yang pertama dicipta melanggar 
larangan Tuhan dengan memakan buah larangan ketika berada di syurga, 
beliau mesti menerima hukuman atas kesalahan yang serius itu.
Sememangnya
 Tuhan sangat sayang kepada manusia, namun apakan daya, Tuhan mesti 
bersifat adil. Setiap kesalahan mesti dihukum. Adam melakukan kesalahan 
yang sangat besar. Kesalahan itu kemudian diwarisi oleh keturunan beliau
 sehinggalah terlalu banyak dosa yang tersebar. Manusia semakin berdosa 
dengan Tuhan.
Namun oleh kerana Tuhan sangat adil, semua kesalahan mesti dibalas atau dihukum.
Walaubagaimanapun
 tiada nilai yang mampu ditebus untuk semua ini. Kesalahan manusia 
terlalu berat dan diwarisi ntah berapa banyak keturunan.
Akhirnya
 muncullah Jesus, anak Tuhan yang datang ke bumi ini untuk menyebarkan 
kasih sayang Tuhan bapa kepada manusia. Walaubagaimanapun misi beliau 
yang paling besar adalah berkorban nyawa semata-mata untuk menebus dosa 
manusia. Nyawa Tuhan yang tinggi nilainya layak untuk membebaskan semua 
dosa yang membelenggu manusia.
Akhirnya Jesus mati disalib. Nyawa beliau yang suci itu ditebus dengan segala dosa manusia.
Itulah kisah keadilan Tuhan bapa dan pengorbanan Tuhan anak yang begitu menyayat hati.
Allah Mesti Adil Dalam Menghukum
Dalam
 sejarah islam terdapat beberapa mazhab yang lahir akibat perbezaan 
pendapat dalam bab akidah. Antaranya mazhab Muktazilah. Dalam memahami 
sifat keadilan Allah, kita agak berbeza dengan mereka.
Bagi 
Muktazilah, Allah mesti adil dalam menghukum. Setiap manusia yang 
melakukan dosa mesti dibalas dengan neraka. Setiap manusia yang 
melakukan kebaikan mesti diberi ganjaran pahala. Inilah sifat adil 
Tuhan.
Maka, muktazilah menolak mereka yang melakukan dosa besar 
masuk syurga bahkan mereka akan kekal di neraka selama-lamanya jika 
tidak sempat bertaubat. Begitu juga mereka menolak syafaat orang-orang 
yang dipilih oleh Allah untuk dikurniakan kepada orang lain.
Umpamanya
 hadith yang menceritakan orang yang syahid, orang yang menghafal 
Al-Quran dan orang yang alim mampu memberi syafaat serta menarik orang 
lain masuk ke syurga.
Ini ditentang oleh Muktazilah. Mereka yang 
jahat jika tidak bertaubat di dunia pasti tidak akan ada ruang kemaafan 
langsung hatta daripada Allah sendiri! Allah mesti menghukum mereka.
Tuhan Maha Adil, Maha Penyayang
Ummat
 islam yang mengikut fahaman ahli sunnah wal jamaah meyakini bahawa 
Tuhan itu adil dalam menghukum. Walaubagaimanapun, Allah berhak 
melakukan apa sahaja yang beliau inginkan termasuk mengampunkan sesiapa 
sahaja yang dikehendaki.
Begitu juga Allah berhak memberi kepada orang-orang tertentu syafaat yang mampu menyelamatkan orang lain kelak di akhirat.
Berkenaan
 dengan keadilan Tuhan dalam menghukum, ini termasuk dalam perkara 
akhirat yang tidak diketahui oleh manusia. Keadilan itu memang manusia 
tahu, namun bagaimana Allah berlaku adil, itu semua tiada siapa yang 
mengetahui. Ataupun bahasa yang paling layak, itu hak Allah, tidak perlu
 manusia ingin menyibuk, apa yang penting manusia mesti berusaha 
mendapatkan rahmat dan kasih sayang Allah.
Sebenarnya, walaupun 
Allah bersifat adil, namun dalam masa yang sama Allah bersifat maha 
pengampun dan maha memberi rahmat. Keampunan Allah melebihi 
kemarahanNYA.
Banyak ayat-ayat Al-Quran dan Hadith menceritakan 
bagaimana setiap amalan kebaikan mendapat ganjaran pahala yang berlipat 
ganda, bahkan jika kita berniat ingin melakukan kebaikan terus mendapat 
pahala. Ini berbeza dengan dosa dan kesalahan, tidak ada satu pun ayat 
dan hadith yang menyebut dosa kita akan digandakan. Bahkan jika kita 
berniat jahat tanpa melakukannya tidak akan ditulis dosa.
Adakah Allah tidak adil?
Bahkan Allah maha pemurah, pengasih, pengampun dan 96 lagi sifat-sifat kesempurnaan yang lain..
 
No comments:
Post a Comment